:: :: :: :: :: :: :: :: SERUHAKIKI :: :: :: :: :: :: :: ::

Degilkah kita?

Posted in Hamba dan Pencipta by drALAM on August 7, 2009

Hari ini Jumaat dan hampir di semua masjid di Malaysia ini mengadakan solat Hajat menolak wabak dan bala penyakit. Mungkin itu sudah menjadi rutin biasa bagi umat Islam di bumi Malaysia ini. Bersama-sama meminta hajat kepada Allah s.w.t andai sekiranya berlaku pelbagai peristiwa. Dan yang pastinya peristiwa itu lebih ke arah sesuatu yang merupakan azab Allah kepada kita.

Bila sudah sampai tahapnya sehingga menunaikan solat hajat itu, sudah tentu di minda masyarakat kita sudah mula bercambah satu fikrah yang akhirnya meletakkan Allah sebagai yang Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu. Hakikat itu benar! Selama sebelum manusia diuji sedemikian rupa, kita sering alpa dan lupa dengan hakikat itu. Manusia bertungkus lumus mencari jalan penyelesaian ke atas setiap yang melanda. Ya, itu semestinya perlu kerana Islam tidak mengajar umatnya untuk duduk dan memerhatikan sahaja. Tetapi kita masih kekurangan sesuatu, iaitu kemartabatan Ilahi.

Kemartabatan Ilahi masih belum mekar dijunjung dalam jiwa ummah. Malah sebaliknya berlaku, apabila kita tetap meletakkan dunia sebagai tujuan atas segala sesuatu. Sebagai contoh dalam kita menunaikan solat. Kita semua mampu melaksanakannya tetapi tidak semua mampu menjiwainya. Ianya menjadi seakan senaman ringan yang menjadikan syarat dan rukunnya sebagai ‘cukup’. Itulah kerugian yang kita cipta. Setiap bala bencana dan azab dunia yang diturunkan Allah s.w.t ini bukan sekadar tayangan menyayat hati, malah tiada sebutir ibrah pun yang dikutip dan dihayati. Itulah tamparan terhebat untuk umat Islam kini yang akhirnya memesongkan dan menggelapkan jiwa mu’min kita.

Allah kasih kepada hamba–Nnya maka diberikan dugaan (cubaan), agar mereka sentiasa berdamping diri terhadap Allah.

Sakit itu sebenarnya adalah nikmat, satu pengampunan dosa daripada Allah seperti mana Nabi Muhammad saw bersabda: “Sesiapa yang pada suatu malam dia mengalami kesakitan di mana dia bersabar dan reda kepada ketentuan Allah, maka terkeluar dia daripada dosanya seperti keadaan ketika dilahirkan ibunya.” (Riwayat Al-Hakim)

Nabi pernah bersabda seseorang yang demam dalam mengerjakan haji dapat menahannya dengan penuh kesabaran, dijauhkan daripada api neraka selama 70 tahun perjalanan.Walaupun tidak mendapat ganjaran seperti di tanah suci, setiap sakit atau penderitaan itu tetap mempunyai nikmat dan rahmat di sisi Allah. Mereka yang tidak beriman, Allah tidak perlu mengujinya, sudah tentu mereka tidak akan insaf dan sedar. Malah mereka gembira di atas sesuatu yang menimpa ke atas orang lain, kononnya mereka itu terlepas daripada diazab oleh Allah di atas kejahatan atau kesalahan yang dilakukannya. Adalah buruk yang mereka sangkakan seperti mana Allah berfirman bermaksud : “Bahkan patutkah orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah al-Ankabut, ayat 4).

Amatlah rugi bagi mereka yang menyangka bahawa sesiapa yang terkena penyakit atau musibah itu sebagai balasan adalah sangkaan meleset. Bukan sedikit orang yang melakukan kejahatan di bumi ini, bahkan azab mereka ditangguhkan oleh Allah. Jika Allah membalas kejahatan mereka ini, maka kosonglah bumi ini, tetapi Allah tidak berkehendak sedemikian.

Ini jelas dalam firmannya bermaksud ” …dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak, akan tetapi ia memberi tempoh ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaat pun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didulukan.” (Surah an-Nahl, ayat 61).

Abu Hurairah berkata: “…tiga macam termasuk dalam perbendaharaan taat: menyembunyikan sedekah, menyembunyikan penyakit dan menyembunyikan bala musibah.”

Ganjaran menziarahi orang sakit juga sebahagian daripada penebus dosa, Abul Laits meriwayatkan “Nabi Musa bertanya kepada Tuhan: Ya Tuhan, apakah pahala orang yang sambang (ziarah) orang sakit? Jawabnya: Saya keluarkan dia daripada dosanya bagaikan bayi baru lahir daripada perut ibunya. Ya Tuhan, apakah pahala orang yang menghantar jenazah? Jawabnya: Saya kirimkan malaikat untuk menghantar dia ketika bangkit dari kubur dengan membawa panji-panji ke mahsyar. Ya Tuhan, apakah pahala orang yang pergi takziah (menghiburkan) orang yang kena musibah? Jawabnya: Aku naungi dia di bawah naungan pada saat tidak ada naungan kecuali naunganku (yakni di bawah Arsy). Abu Warrad dari Muhamad bin Muslim berkata: Seseorang datang kepada Nabi saw dan berkata: Ya Rasulullah saw habis hartaku dan sakit badanku.

Maka dijawab oleh Nabi saw: tidak baik seorang hamba yang tidak habis hartanya dan tidak sakit badannya, sesungguhnya Allah jika cinta kepada hamba maka di ujinya dengan bala dan apabila ditimpa bala Allah, memberinya kesabaran.” (Tanbihul Ghafilin)

Kesusahan, keperitan, kerisauan, menahan cacian dan mencari nafkah anak-anak dan isteri juga sebagai nikmat yang kurniaan Allah. Ini juga sebahagian daripada penebus dosa.

Ujian itu adalah tanda kasihnya Allah kepada hambanya seperti Nabi saw bersabda “Sesungguhnya antara dosa itu ada dosa yang tidak dapat ditebus oleh sembahyang, haji dan umrah hanya dapat ditebus dengan kerisauan hati dalam mencari nafkah hidup.” (Riwayat Ibnu dan Abu Na’im dari Abu Hurairah).

Apalah guna hidup senang, tetapi penuh dengan dosa dan noda, Nabi saw bersabda “Sesungguhnya yang lebih lama susahnya di dunia ialah yang lama gembiranya pada akhirat dan lebih lama kenyangnya di dunia akan lebih lama lapar di akhirat.” (Riwayat Ibnu Asakir).

Ini bererti mereka yang hidup sengsara, menderita kelaparan, sakit dan risau di dunia ini akan mendapat kegembiraan yang lama pada akhirat nanti, sebaliknya golongan yang kenyang dan gembira di dunia ini akan lama kelaparannya pada akhirat. Bagi mereka yang hajatnya tidak tercapai di dunia ini, janganlah berduka cita atau putus asa atas keputusan Allah, habuan mereka tersimpan pada akhirat nanti.

Allah berfirman yang bermaksud: “Demi sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan berasa) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155).

Manusia berasa sukar menerima keadaan yang biasa menimpa seperti kemiskinan, kerugian, kehilangan barang, pangkat, kematian dan perkara lain yang mengurangi kesenangannya. Apa yang dapat bertahan dalam kesukaran seperti itu hanyalah orang yang mempunyai sifat sabar dan reda. Dalam hadis Qudsi nabi menceritakan “bahawa Tuhan berkata” Akulah Allah, tidak ada Tuhan yang sebenarnya, selain Aku, maka barang siapa tidak sabar atas cubaanku, tidak bersyukur atas nikmatku dan tidak rela terhadap keputusanku, maka hendaklah dia mencari Tuhan yang lain daripada Ku.”

Nabi saw membuktikan cinta dan kasih sayang kepada umatnya ia sanggup menanggung segala susah payah yang menimpa dan inginkan kebaikan daripada umatnya, hingga hampir wafatnya ia masih menyebut umatku, umatku, umatku, seperti mana firman Allah bermaksud “…sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad saw) yang menjadi sangat keberatan kepada sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat lobakan (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang beriman.” (Surah at-Taubah, ayat 128)

Iktibar daripada ayat ini, kita sebagai bapa atau ketua keluarga yang kasihkan isteri dan anak-anak, harus reda akan bencana yang bakal menimpa mereka, biarlah tertimpa ke atas suami atau bapa sebagai pengorbanan seperti yang dicontohkan oleh Nabi, bersediakah kita untuk menerima segala bentuk ujian?

Tidak ada siapa pun yang mahu meminta supaya dirinya dikenakan musibah, contohnya sakit, kerana tidak tahu nikmat musibah itu sebenarnya, sebaliknya mengganggap musibah itu adalah buruk. Dari Abud Dardaa’ berkata “orang tidak suka kemiskinan dan aku suka, dan tidak suka mati dan aku suka, dan tidak suka penyakit, aku suka.

Aku suka penyakit kerana menjadi penebus dosa-dosaku, dan aku suka miskin kerana menyebabkan tawaduk kepada Tuhanku, dan aku suka mati kerana rindu kepada Tuhanku.
ujian Allah ada Ibrahnyaujian Allah ada HikmahnyaAllah Kasih pada HambaNya

Sya’ban Itu Lailatul Bara’ah

Posted in Ibadat by drALAM on August 5, 2009

SYA’BAN…

Bulan di mana amalan diangkat kepada Allah swt.

Usamah bin Zaid berkata: ‘Aku telah bertanya kepada Rasulullah saw: Ya Rasulullah, aku tidak pernah menyaksikan seumpama puasamu di bulan Sya’ban di dalam bulan-bulan lain. Rasulullah telah bersabda: ‘Itulah bulan di mana manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadhan. Ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Maka aku amat suka sekiranya amalanku diangkat sedang aku berpuasa.’

Pertengahan Sya’ban: keampunan dan keredhaan.

Dari Aishah , sabda Rasulullah :’Ya, Aishah sesungguhnya ianya bulan di mana malaikat maut menghapuskan nama orang yang akan diambil rohnya di sepanjang tahun itu maka aku amat suka sekiranya beliau tidak mengambil rohku melainkan dalam bulan Sya’ban.’
Ini adalah kerana di dalam bulan Syaban tersebut akan dilakukan pemansuhan nama-nama orang yang akan diambil namanya di sepanjang tahun tersebut. Maka orang2 yang diambil rohnya di sepanjang tahun itu dihapuskan namanya dan dipindahkan dalam senarai orang2 yang akan mati tahun tersebut.

Abdullah r.a. berkata, Rasulullah telah bersabda :’ barangsiapa yang berpuasa pada hari Isnin terakhir di dalam bulan Sya’ban akan diampunkan dosanya’.

Kelebihan malam pertengahan Sya’ban (lailatul bara’ah): keampunan Allah- qiamullail dan puasa di siang hari. Daripada Ali bin Abi Talib, Rasullah bersabda :’ sesungguhnya Allah turun pada pertengahan Sya’ban ke langit dunia maka dia mengampuni setiap muslim melainkan orang mushrik, orang yang memutuskan silaturrahim yang berbuat fitnah dan wanita yang tidak menjaga kemaluannya.

Umar bin Abd Aziz telah menulis:’ hendaklah kamu memerhatikan empat malam di dalam satu tahun kerana sesungguhnya Allah swt telah membuka rahmatnya dengan seluas2nya iaitu malam pertama Rejab, malam pertengahan Sya’ban, malam Aidilfitri dan malam Aidil adha.

Sabda nabi saw: Sesungguhnya doa di malam ini tidak ditolak sama sekali.

Ulama mencadangkan agar dibacakan Yassin 3 kali. Bacaan pertama diniatkan untuk panjang umur, bacaan kedua untuk mengangkat bala dan ketiga agar berasa cukup – tidak meminta2 dari makhluk, dan doa dibacakan selepas setiap bacaan yassin

Dari Anas bin Malik: Nabi saw bersabda: kelebihan Rejab di atas bulan2 lain adalah umpama kelebihan al-Quran keatas lain2 perkataan, kelebihan sya’ban ke atas lain2 bulan adalah umpama kelebihanku di atas lain2 nabi dan kelebihan ramadan ke atas lain2 bulan adalah seumpama kelebihan Allah ke atas sekalian makhluk.

Salawat ke atas Nabi: Daripada Abdullah bin Amru b As , Nabi saw bersabda: Barangsiapa yang bersalawat kepadaku sekali maka allah akan bersalawat ke atasnya sepuluh kali

Sujud dan doa di malam pertengahan Sya’ban:
Aishah telah berkata: Apabila tiba malam pertengahan bulan Sya’ban (nisfu syaaban) Rasulullah saw telah meninggalkan tempat tidur sehinggakan aku mengagak bahawa baginda saw telah pergi mendatangi isteri2nya yang lain maka aku bangun mencarinya di dalam rumah. Sedang aku teraba-raba terpegang olehku kedua kaki Rasulullah yg ketika itu sedang sujud . Maka aku telah menghafal doa yang dibaca ketika sujud baginda :
‘Telah sujud kepadamu kegelapan malam dan diriku ini , telah beriman kepadamu sanubariku, aku mengiktirafi akan nikmat2 yang telah engkau kurniakan, aku mengiktirafi dosa2ku kepadamu, aku telah menzalimi diriku sendiri (dengan melakukan maksiat) maka ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa2 melainkan engkau, aku berlindung dengan keampunanmu dari azabmu dan aku berlindung dengan keredhaanmu dari kemurkaanmu dan aku berlindung denganmu sahaja, tiada upaya aku menghitung pujian untukmu, engkau adalah sepertimana engkau memuji dirimu sendiri.’
Rasulullah bersabda : Pelajarilah dan ajarilah ia (doa itu) kerana sesungguhnya Jibrail telah memerintahkanku supaya menyebutnya dalam sujudku.

Sabda Rasulullah : Di malam ini dituliskan nama setiap bayi yang akan dilahirkan dan orang yang akan mati sepanjang tahun ini.pada malam ini diturunkan rezeki2 mereka pada malam ini diangkat amalan2 dan perbuatan2 hamba2.

Dari Abu Hurairah, sabda Rasulullah: Jibrail telah datang kepadaku pada malam pertengahan sya’ban dan berkata kepadaku : ‘Ya Muhammad ! Dongakkanlah kepalamu ke arah langit. Aku bertanya apakah malam ini? Jawab Jibrail, pada malam ini Allah membukakan tiga ratus pintu2 dari pintu2 rahmat dan mengampunkan orang yang tidak mempersekutukannya, melainkan ahli sihir, ahli nujum, pemabuk arak, orang yang berterusan mengambil riba dan berterusan melakukan zina adalah kerana sekalian mereka itu tidak akan diampunkan sehinggalah mereka bertaubat.

Banyakkanlah beristighfar/taubat lantaran malam tersebut dipenuhi dengan keampunan dan rahmat Allah. Mohonlah jua keampunan untuk kedua ibu bapa dan sekalian muslim yang masih hidup ataupun yang telah mati.

Sya’ban sebagai lailatul bara’ah
Baraah = kelepasan.
1. Kelepasan dari azab ar-Rahman.
2. Kelepasan
Wali2 Allah dari dibiarkan oleh Allah swt.
Sabda Rasulullah: Apabila tiba malam pertengahan Syaaban Allah akan memerhatikan makhluknya dengan pemerhatian yang penuh. Maka Allah akan mengampunkan orang2 yang beriman, membiarkan org2 kafir, meninggalkan orang2 yang berkhianat sehingga mereka bertaubat kepada Allah.

Dikatakan bahawa malaikat juga mempunyai hari raya di langit sebagaimana manusia mempunyai hari raya di atas bumi. Maka hari raya malaikat ialah malam lailatul baraah dan lailatul qadar. Hari raya malaikat pada waktu malam kerana mereka tidak tidur.

Dipetik dari ‘Kelebihan bulan dan hari’ oleh Abu Khairy al-Latifi

SURAT BARU

Posted in Sahabat Itu Ukhuwwah by drALAM on August 4, 2009

Bismillahirrahmanirrahim …

Allah Maha Besar, Allah Maha Mengetahui, PengetahuanNya meliputi segala isi hati manusia. Hanya Allah yang Maha Bijaksana, lagi Maha Tinggi IlmuNya. Secebis mahupun setitik mahupun sekecil manapun isi dan perasaan hati ini, sejauh manajuapun terselitnya dan hilangnya perasaan ini, namun Allah ta’ala jualah yang Maha Mengetahui…

Sahabat,
Pernah suatu ketika kita bertemu, mengikat sebuah jalinan. Tanyalah pada mata ini, juga pada tangan ini yang bersalaman, mata yang bertentangan, andai tiada lagi jawapan dari semua itu, pastinya hati kita saling menyimpan jawapannya…

Sukar tidak tertakrif, siapakah dirimu yang sebenarnya, siapakah kamu yang bermain dihati ini, dan mengapa kamu sering muncul sambil mengiringi perjuangan yang jauh ini?

Sahabat? Kamu lebih dari itu…
Teman? Kamu lagi jauh dari menemani…

Kamu adalah hati ini, kerana dirimu adalah sahabat, dirimu juga adalah teman, seorang insan yang teramat disayangi…andai itu kamu mengerti…

Setelah jauh kita saling seiring, kini masih sukar untuk mentakrifkan…tetapi, itulah hikmah dan istimewanya jalinan ini…takrifannya ada dihati kita, dan kita saling memahaminya, hanya kita yang memahaminya, tidak pada yang lain, tapi tetap pada kita…melafazkannya pada bait tutur kata, bukanlah tanda bagi segalanya, namun cukuplah Allah antara kita, cukuplah Allah yang memelihara kita (hasbunallahu wa ni’mal wakil).

Kita saling menyayangi keranaNya, dan kerana Allah jualah kita berjuang disini… Biarpun kelak kita berpisah, namun selagi kita ada cinta dan kasih yang mengikat hati ini, kita akan tetap bersama selamanya…

Sahabat, teman…
Hanya doa yang selalu mengiringi perjalanan ini. Jadilah anak yang soleh, jadikan Islam itu cara hidupmu…ujian itu tarbiyyah dari Allah…andai kamu lemah tidak bermaya, mintalah kekuatan dariNya..dan kamu tidak akan keseorangan, kerna kamu miliki seorang peneman dan penunggu yang setia disisi, dan sesungguhnya Allah bersama kita (innallaha ma’ana)

Surat asal bertarikh 20.7.2009, 15:24

GAZA MENANGIS…

Posted in Puisi Kalbu by drALAM on June 4, 2009

Malam itu Gaza menangis,
Dongeng Holocaust berdendang lagi,
Apa pula agenda Livni,
Enam dekad Nakbah jadi saksi,
Yahudi itu Yahudi sejati,
Merobek, meratah, menginjak jiwa watan Palestin,
Si kecil tak mengerti,
Luka ibu tua berdarah kembali,
Intifada bergema meruntun hati, menuntut hisab diri,
Bertanya pada hati,
Fana dunia atau akhirat abadi.

Malam itu Gaza menangis lagi,
Sesak dadaku, kelu lidahku ku sapu basah pipi,
Ku soal diri,
Apa benar ku damba syahid, bekal ke sana catitan Raqib,
Apa benar ku rindu al-Khaliq, penghulu alam nyata dan ghaib,

Nah! Renung amal suku abadmu,
Solatmu diakhir waktu,
Puasamu lesu dikongkong nafsu,
Sedekahmu dihitung-hitung dahulu,
Belajarmu dipaksa guru,
Tahajjudmu berabad lalu,

Ya Rabb! sungguh ku malu mengaku aku pencintaMu.

Malam itu Gaza menangis lagi, buat kesekian kali,
Kala wahan beraja dihati, kala al-Quran peneman si mati,
Tegak al-Quds tegar menanti,
Yakinmu pada tibanya hari,
Bangkit mereka muslim sejati, pewaris penjejak nabi,
Pengganti tentera Salahuddin al-Ayubi.

Nun disudut kecil kota berdarah,
Sang ibu berbisik gundah:
“Tidurlah mujahid kecilku,
Kerikil saksi perjuanganmu,
Moga kau tenang disitu,
Menyulam rindu janji Tuhanmu”

palestinian1kh

Gerimis Da’i Semalam

Posted in Tarbiyyah Dzatiyah by drALAM on May 30, 2009

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamaNya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “Orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (al-Quran) ini, supaya Rasulullah menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula LAYAK MENJADI ORANG-ORANG YANG MEMBERI KETERANGAN KEPADA UMAT MANUSIA (22:78)

Da’wah itu tanggungjawab semua, walau tua atau muda, miskin atau kaya, dikala sibuk atau lapangnya, dikala hidup demi matinya..

DA’I ITU BUKAN MALAIKAT!! Dan kenapa ALLAH tidak memilih malaikat sahaja untuk memimpin umat manusia? Sedangkan manusia itu senantiasa diselaputi dosa-dosa dan kealpaan dari rahmat Tuhannya?

Firman ALLAH s.w.t:

” Dan tidak ada sesuatu yang menghalangi manusia untuk beriman ketika petunjuk datang kepadanya, selain perkataan mereka, ‘Mengapa Allah mengutus seorang manusia menjadi rasul?’

“Katakanlah (Muhammad), ‘Sekiranya di bumi ini ada para malaikat, yang berjalan-jalan dengan tenang, nescaya Kami turunkan kepada mereka malaikat dari langit untuk menjadi rasul”

(al-Isra’:94,95)

Da’i – juga manusia, bukan malaikat sama sekali. Manusia sesama mereka pasti lebih mengetahui keperluan dan kehendak masing-masing, kerana inilah hikmahnya manusia diberi tanggungjawab dan amanah untuk menyeru sekalian ‘species’ mereka untuk mengenal Pencipta.

Suka duka seorang da’i – tidak perlu dicoret dalam diari ‘cintan-cintun’, tidak perlu dilakar dan dipamer menjadi perhiasan bernilai klasika, apatah lagi di bina tugu tercegat memperingati ‘kisah perjuangan da’i terhebat’. Da’i perlu memiliki hati, yang di dalamnya tersimpan ‘kotak hitam’ yang merakam setiap langkah perjalanan dan kembara tarbiyyah mereka. Andai mereka ‘terbabas’ mahupun ‘terhempas’, kotak hitam itu adalah bukti penyiasatan yang paling bernilai untuk di selongkar MENGAPA ITU? dan MENGAPA INI?

Bila rebah menyembah, tersungkur futur menyinggah medan-medan para du’at ini, adalah tidak lain kerana terlalu cinta pada perjuangan da’wah itu sendiri. Kerna setiap da’i memiliki matlamat yang dijuangkan, menemui dan melalui jalan ke arah impian dan cita-cita abadi. Kerna terlalu ‘taksub’, para du’at lupa menilai kembali erti ujian ALLAH yang deras mengalirnya seakan air dari takungan!

Andai impian dan matlamat yang da’i bawa itu menggunung tingginya, namun tidak semua mampu mendaki sampai ke puncak. Kerna kekuatan dan ‘stamina’ tarbiyyah itu tetap milik Allah ta’ala, maka dalam apa jua kelemahan da’i sekalipun kepada Allah jualah tempat kembali membina. Da’i menyeru bukan untuk membawa umat kepada dirinya, bukan pula menjadi popular lagi ‘glamor’ bagai bintang-bintang jahiliyah yang kerdipnya sering saja memukau pandangan mata, namun seruan dan ajakan itu hanyalah menuju Rabb.

Maka fikirkanlah! layakkah kita sebagai hamba memberi hidayah dan menerangi jalan kepada sekalian umat? Sehebat manapun da’wah dipikul, kita bukanlah malaikat! Setinggi mana sekalipun mencakar harapan para du’at pada butiran mutiara bawaannya, kilau gemerlapnya itu tetap dibawah kerajaan dan ketetapan ALLAH ta’ala.

“Maka apakah pantas orang yang dijadikan terasa indah perbuatan buruknya, lalu menganggap baik perbuatannya itu? Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Maka jangan engkau (Muhammad) biarkan dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat” (35:8)

Hidayah milik ALLAH! Bukan da’i yang mengaturnya.

“Sungguh, engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk” (28:56)

Barsabarlah atas ujian ALLAH. Futur itu bagai gerimis yang membasahi perjalanan tarbiyyah ini, bagi mereka yang berfikir, mengapa gunung-ganang hancur berderai tatkala menerima amanah dari TuhanNya?

“Jika engkau (Muhammad) sangat mengharapkan agar mereka mendapat petunjuk, maka sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang disesatkan-Nya, dan mereka tidak mempunyai penolong.” (an-Nahl:37)

Semoga terus thabat hendaknya. InsyaALLAH! 🙂

LANGKAH DU’AT

Posted in Puisi Kalbu by drALAM on May 23, 2009

Jauh berliku langkahmu
Hujungnya kelam tiada bersuluh,
Meniti duka yang perit,
namun itu langkahmu.

Kau genggam hati yang meronta,
Kau relakan dirimu terhina,
Kau bangkit biarpun terlena.

Suasana kian bergelut,
Biarpun tersungkur menyembah,
Namun naluri hilang tidak pernah,
Yang tegar mencengkam,
Tidak sekali dicalit,
Azam yang satu.

Langkah ini,
Bukan langkah buta!!
Namun langkahannya,
Mencari cahaya yang nyata,
Dipenghujung yang tiada,
Tanpa izin dari-Nya.

Melangkah Pasti Kehadapan!

Posted in Puisi Kalbu by drALAM on May 22, 2009

Bila diri merenung semula….

kemana bingkisan sejarah itu melayang…

Sejarah itu yang menceritakan segalanya…

segalanya tentang perwira da’wah silam…

 

diri ini rebah…

hanya dek naluri yang janji punah!

namun jalan ini tidak pernah berubah…

silih berganti malah terus bertambah!

 

akh!

andai pernah bunga itu bercambah..

layunya kelak usah digundah..

futur syaitan itu bermadah..

mencari helah meruntuhkan da’wah!

 

Bangkitlah semula dari tidur yang lena…

jaganya kelak ketemui redha cintaNya..